Maklumat Am

Asas Perlaksanaan Aktiviti Wakaf di
Wilayah-Wilayah Persekutuan

Undang-undang negeri, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf yang diwujudkan di negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 61 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) sebagaimana berikut:

“Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak, setakat mana-mana harta yang tersentuh olehnya dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan, jika pemberi harta itu atau orang lain yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazr ‘am itu telah berdomisil di Wilayah-Wilayah Persekutuan, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana-mana jua harta itu terletak”.

Justeru, sebarang pelaksanaan dan pengurusan wakaf hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MAIN.

Merujuk Akta 505, di bawah seksyen 61. MAIWP berperanan sebagai pentadbir wakaf yang secara umumnya bertanggungjawab memelihara, membangun dan menguruskan harta wakaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Kuasa Mutawalli yang diberikan oleh pihak Nazir ini secara undang-undangnya diberikan kuasa wakil untuk menguruskan segala hal ehwal wakaf seperti mengutip wang wakaf, membangunkan tanah wakaf, menerima dan menguruskan hartanah wakaf dengan mengikut terma dan syarat perjanjian yang telah termaktub di antara kedua belah pihak.